Sunday, July 25, 2010

JURNAL REFLEKSI

Sebelum mempelajari apa yang diajar oleh pensyarah berkenaan dengan muzik, saya tidak mengetahui istilah dan penerangan mengenai soundscape, budaya, sejarah, kategori dan struktur sesuatu muzik. Kekurangan ilmu mengenai asas muzik menyebabkan istilah-istilah yang digunakan oleh pensyarah agak mengelirukan. Berdasarkan kepada apa yang saya tahu, muzik hanyalah merupakan sesuatu yang dicipta oleh manusia yang berupa beberapa susunan kata dan melodi. Jika disingkap dari sejarah, telah sedia ketahui bahawa sesetangah muzik yang dimainkan di Malaysia ketika ini adalah merupakan muzik yang dibawa masuk oleh pengaruh luar seperti India, Timur Tengah dan sebagainya yang dibawa masuk melalui perhubungan manusia. Dari segi budaya, sesuatu muzik juga dipengaruhi oleh budaya. Sebagaimana yang diketahui bahawa budaya adalah merupakan suatu cara hidup (the way of life). Ianya adalah diturunkan dari generasi ke generasi. Budaya muzik juga memperlihatkan bahawa cara hidup seseorang dengan muzik adalah berhubungan. Dari segi kategori alat muzik dan struktur/konsep muzik, saya kurang mengetahui mengenainya sebelum diajari oleh pensyarah.

Berdasarkan kepada apa yang saya ketahui mengenai muzik, saya mendapati bahawa asas tentang muzik adalah sedikit dan memerlukan pengetahuan yang lebih mendalam. Ini bertujuan supaya, dengan asas yang kukuh mengenai muzik, saya dapat mendalami dengan lebih terperinci muzik tradisional negara kita. Apa yang saya ingin ketahui adalah sejarah kedatangan muzik yang datang di Malaysia ini. Ini adalah kerana, muzik tradisional adalah merupakan lambang muzik negara Malaysia yang merupakan simbol Malaysia. Dengan muzik tradisional, sesebuah negara itu akan mudah dikenali. Sekiranya kita menggunakan muzik daripada negara lain dan menggunakan muzik tersebut untuk mengenali Malaysia, ini mungkin akan menyebabkan perselisihan faham antara negara. Saya ingin mengenali sejarah kedatangan muzik ke Malaysia supaya dapat mengetahui sejarah asal negara yang menggunakan muzik tersebut. Selain itu, saya juga ingin mengetahui apakah struktur-struktur / konsep muzik yang tidak saya pelajari sebelum ini.

Setelah diajar oleh pensyarah, saya telah mempelajari sesuatu yang tidak saya ketahui sebelum ini. Ini adalah kerana, sebelum ini saya tidak mengetahui istilah soundscape. Sebagaimana yang diterangkan oleh pensyarah, soundscape adalah susunan bunyi yang telah disusun membentuk muzik. Ia adalah bagaimana karektor bunyi mengambil tempat dalam konteks lingkungan suara. Secara ringkasnya ia disebut pemandangan bunyi. Dari segi budaya muzik, saya juga telah mengetahui bahawa budaya adalah cara hidup. Berdasarkan apa yang diajar oleh pensyarah, budaya muzik ini adalah menglibatan menyeluruh mengenai muzik iaitu idea, aksi, institusi, material dan sebagainya. Ianya juga boleh diperkatakan bahawa budaya muzik melalui keluarga, komuniti, daerah, negeri atau negara. Ianya adalah merupakan muzik yang diperturunkan dari generasi ke generasi. Setiap komuniti mempunyai muzik mengikut budaya masing-masing. Saya juga telah mempelajari mengenai komponen muzik yang terdiri daripada idea tentang muzik, penglibatan dalam aktiviti muzik dan juga repertoire muzik. Melihat dari sejarah muzik, pensyarah telah menerangkan mengenai sejarah kemasukan dan pengaruh muzik ke Tanah Melayu seperti pengaruh pedagang Arab/Hindu, Indonesia, Thailand dan juga Barat. Pensyarah juga mengajar mengenai kategori alat muzik iaitu kordofon, membranofon, aerofon dan idiofon dimana setiap jenis mempunyai perbezaannya. Manakala yang terakhir adalah struktur/konsep muzik iaitu yang terdiri daripada melodi, ritma/meter, harmoni, bentuk/form, notasi dan ekspresi/tafsir. Melalui penerangan yang diberikan oleh pensyarah, saya telah menerima lebih banyak input berkenaan dengan muzik.

Selain apa yang diajar oleh pensyarah, saya juga telah membuat beberapa rujukan terhadap muzik. Saya telah membuat rujukan terhadap beberapa muzik tradisional di Malaysia ini. Sebagai contohnya, muzik keroncong. Menurut Ariff Ahmad, seorang karyawan tamu di Universiti Kebangsaan Malaysia, beliau mengatakan muzik keroncong telah diperkenalkan ke Semenanjung Tanah Melayu pada akhir abad ke-19 apabila ramai pekerja buruh dari Indonesia terutama dari Pulau Jawa berhijrah ke Malaysia untuk mencari pekerjaan. Penduduk dari jawa juga tidak ketinggalan membawa bersama kesenian mereka termasuk seni muzik gamelan, keroncong, muzik untuk wayang kulit, kuda kepang, barongan dan sebagainya. Kawasan-kawasan yang banyak terdapat kegiatan muzik keroncong adalah di tempat-tempat di mana ramai orang Jawa dan keturunnya seperti di negeri Johor, di pantau barat negeri Selangor dan Perak. Dari segi kategori alat muzik, saya telah membuat rujukan di Internet berkenaan dengan kordofon, membranofon, aerofon dan idiofon. Menurut laman web warisan budaya Malaysia dari http://malaysiana.pnm.my/kesenian/Index.htm , kordofon adalah alat muzik yang mengeluarkan bunyi kerana adanya getaran pada tali yang diregangkan. Contohnya gitar, gambus dan biola. Bagi membranofon, ianya merupakan bunyi yang dihasilkan melalui bunyi dari kulit yang ditegangkan atau dipalu. Contohnya, kompang, tabla dan rebana. Bagi erofon, ianya adalah bunyi yang dikeluarkan melalui lubang udara seperti serunai, seruling dan nafiri. Manakal bagi idiofon, ianya adalah bunyi yang dikeluarkan melalui tindakbalas pada rangka badan yang bergema seperti gong, angklung dan sebagainya.

Oleh itu, berdasarkan kepada apa yang diajar oleh pensyarah, saya mendapati tahap pemahaman saya dalam asas muzik ini semakin mendalam. Ini membolehkan saya bergerak dengan lebih mudah mengenai muzik tradisional Malaysia ini.



0 comments:

Post a Comment

 

BLOG KUMP. A

BLOG KUMP. B

BLOG KUMP. C

SMP2252 Asmaliza Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template